Category Archives: Umum

Fakta-Fakta Menarik

Petua Untuk Menolak Memberi Hutang

Belum kahwin boleh beli rumah cara Islam- Utusan Malaysia 24 Dis 2011

IDEAS: SBPA mesti tidak menjadi beban baru

Empat(4) Golongan Lelaki Di Akhirat

Luahan Hati Insan Melayu Yang Hampir-Hampir Murtad

Diceritakan Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Lanjutan dari artikel Kisah Murtad Dan Kesalahan Diri Kita Umat Islam untuk lebih memahami.

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa ‘amat sederhana’. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.

Sedih
Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.

Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya.Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

Tangkap
Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi.

Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.

Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut ‘semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya’.

Semasa saya menziarahinya (tanpa notis awal) dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan. Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam. Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.

Salah Siapa?
Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan ‘dakwah’. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.

Zakat
Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?

Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.

Jika program ‘Bersamamu’ boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan.

Firman Allah (maksudnya):
“(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.

(Surah al-Baqarah ayat 273)

Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.

“Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” 

(Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah)

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Salam Aidilfitri

Bersyukur ke hadrat Ilahi, Ramadhan kali ini selamat kita tempuhi. Dalam kesedihan meninggalkan bulan mulia ini, Syawal pula semakin mengintai untuk membawa kemenangan umat Islam yang menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadhan.

Di kesempatan ini, Saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, dan Maaf Zahir & Batin kepada keluarga, sahabat dan kenalan.
 
Semoga Aidilfitri ini disambut dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran di samping keluarga tercinta. Berhati- hati di jalan raya semoga selamat tiba dan selamat kembali!

Salam Lebaran Ikhlas Dari :
Abang Choy Sekeluarga

Petua Mencari Sahabat

Makna 9 Julai

Dalam pensejarahan, setiap negara bangsa akan wujud satu tarikh untuk diingati dan dikongsi bersama. Warga Palestin mengingati Nakba atau malapetaka pada 15 Mei setiap tahun. Pada tarikh ini Israel diwujudkan. Pada tarikh ini juga tanah warga Palestin mula di rampas oleh kaum Zionis.

Semenanjung Tanah Melayu menyambut hari ‘malapetaka’ pada 31 Ogos setiap tahun. Malapetaka menimpa Tanah Melayu di tarikh ini apabila British mengagihkan kuasa pentabiran tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Malapetaka ini sedang sama-sama kita rasakan.

Tetapi apa sangkut pautnya malapetaka ini dengan tarikh 9 Julai? Bukankah pada 9 Julai yang lepas hanyalah hari perhimpunan BERSIH? Untuk memahami 9 Julai ini saya akan bawa kembali kepada surah sejarah agar para pembaca yang budiman akan dapat memahami makna dan tanda tarikh dan haribulan ini.

Saya bawa kembali para pembaca ke zaman Julius Ceaser dan kerajaan Rom. Di Utara Itali ada sebatang sungai bernama Rubicon yang airnya berlumpur merah. Sungai ini telah dijadikan garis sempadan. Kerajaan Rom telah membuat undang-undang bahawa tidak ada sesiapa pun boleh melintasi sungai Rubicon dengan membawa bala tentera.

Pada tahun 49 sebelum Masehi, Julius Ceaser telah melintasi sungai Rubicon dengan membawa satu ketumbukan bala tentera menuju ke arah kota Rom. Menyeberangi Sungai Rubicon memberi makna bahawa tidak ada lagi jalan pulang melainkan mengambil kota Rom. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Kini biar saya bawa pula ke zaman sesudah Perang Dunia Pertama. Pada tahun-tahun 30-an kerajaan Perancis telah mendirikan tembok-tembok pertahanan di sempadan Perancis/Jerman. Tembok dan kubu-kubu pertahanan ini di panggil Garis Maginot – diambil daripada nama menteri pertahanan Perancis sebelum Perang Dunia Kedua. Garis ini cukup kukuh dengan kubu-kubu batu, tembok yang lengkap dipersenjatai dan pengkalan askar yang strategik diatur sepanjang Garis Maginot.

Apabila Perang Dunia Kedua pecah, Hitler mula menyerang Perancis. Kubu-kubu di Garis Maginot yang pada awalnya kelihatan kukuh dan mustahil untuk soldadu German menorobus masuk ke Perancis. Tetapi pada 10 Mei 1940, Garis Maginot ini ditembusi oleh soldadu Hitler. Pada 14 Jun 1940 Perancis jatuh ke tangan Nazi. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Biar saya bawa pula para pembaca yang budiman ke tahun 711 di zaman kegemilangan tamadun Arab. Pada 29 April 711, Tariq ibni Ziyad, panglima perang dari Moroko telah berjaya menyeberang Laut Tengah dan memasuki Semenanjung Ibera. Sesampainya di pantai Selatan Laut Tengah, Tariq telah membakar semua kapal yang membawa bala tenteranya.

Tariq ibni Ziyad telah menerangkan pada bala tenteranya bahawa di hadapan mereka terbentang luas negara Sepanyol yang subur dan menjanjikan untuk diambil. Di belakang mereka ialah Moroko. Tetapi mereka tidak memiliki pilihan kerana semua kapal untuk pulang telah dibakar. Hanya satu pilihan – iaitu terus mara dan menawan Sepanyol. Tetapi 9 Julai lebih dari ini.

Sekarang mari kita sama-sama melihat kembali pensejarahan 9 Julai. Apabila BERSIH mengumumkan 9 Julai sebagai hari perhimpunan dengan lapan tuntutan, saya rasa tidak bagitu ramai yang ambil pot.

Lawak menjadi seram

Ada komen yang mengatakan kempen BERSIH 2007 dahulu lebih baik kerana masa berkempen agak panjang. Kali ini masanya singkat. Pasti tidak ada sokongan. Ada yang mengatakan bahawa Rosmah dan Najib ini amat popular dan susah untuk digelincirkan. Ada pula yang memberi komen bahawa tunjuk perasaan ini bukan budaya kita.

Semua hujah-hujah ini menjadi hampeh apabila Mat Sabu dipilih menjadi timbalan presiden PAS. Semua suasana politik berubah. Perubahan mendadak berlaku apabila Mat Sabu membuat kenyataan terbuka bahawa sebagai timbalan presiden PAS, dia akan memastikan 300,000 ahli parti PAS turun ke jalan raya pada 9 Julai. Kenyataan Mat Sabu ini terus menaikkan kemarahan Rosmah Mansor sebanyak tiga kilo.

Biar saya terangkan sejelas mungkin di sini. Semua daulah yang zalim, untuk meneruskan kuasa, akan menakut-nakutkan warganya. Ini adalah teknik dan strategi yang digunapakai oleh semua pemerintah. Raja, emperor, ratu, presiden atau perdana menteri, semua menggunakan ‘takut’ sebagai alat. Warganegara yang takut akan menjadi bodoh. Warga yang bodoh tidak berani bersuara. Warga yang takut dan bodoh amat senang untuk ditambat dan dijadikan kuli batak.

Apa yang telah dilakukan oleh Rosmah dan Najib ialah mengarahkan sepupunya Hishammuddin Hussein untuk menakut-nakutkan rakyat. Yang menjadi orang suruhan untuk menakut-nakutkan orang ramai ini ialah timbalan ketua polis. Lihat bagaimana pada satu ketika warna kuning untuk kasut, payung dan baju telah diisytihar sebagai warna haram untuk dipakai. Ini contoh terbaik gerak kerja orang suruhan.

Tidak cukup dengan tangkapan polis, rakyat juga cuba ditakut-takutkan dengan kehadiran para pesilat yang memiliki ilmu kebal dan ilmu ghaib. Untuk terus menakut-nakutkan orang ramai, tiba-tiba kita melihat kemunculan berita di mana polis dan tentera telah mengadakan latihan bersama. Tidak cukup dengan berita ini ada sepanduk yang tertera dengan tulisan besar dalam empat bahasa termasuk tulisan Jawi: Jika Tidak Berundur Kami Akan Tembak.

Taktik untuk menakutkan orang ramai ini dinaikkan lagi suhunya dengan kemunculan Perkasa dengan juruhebohnya Ibrahim Ali. Setiap hari tanpa henti-henti Ibrahim Ali telah berleter dan berheboh dengan segala macam berita yang bertujuan untuk mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai dari turun ke jalan raya.

Dalam masa yang sama saban hari media milik United Malay National Organisation telah mengeluarkan dua bentuk berita. Satu berita-berita yang berniat untuk mengancam warga agar jangan berani turun ke jalan raya. Satu lagi berita untuk memburuk-burukan dan memperlekeh BERSIH.

Tidak cukup dengan semua ini , enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan. Kali ini dengan menggunakan Ordinan Darurat. Entah macam mana putar dan belit, Rosmah, Najib and sepupunya telah memintal lidah untuk menipu orang ramai. Sepupu Najib telah berkata bahawa enam anggota PSM ini ingin melawan Agong.

Ya ampun, lawak ini menjadi seram apabila kita diberitahu bahawa hanya Dr Jeya seorang sahaja yang tahu di mana rumah Agong dan pernah melihat muka Agong! Ini kerana Dr Jeya seorang ahli parlimen dan Agong telah beberapa kali datang ke parlimen. Yang lima lagi ini, saya difahamlan hanyalah aktivis PSM yang rata-rata tidak tahu sangat tentang jalan-jalan di Kuala Lumpur. Malah mereka berlima ini mungkin tidak dapat membezakan muka Agong. Jauh sekali nak melawan Agong.

Di belakang semua huha huha ini ada pula perang saraf yang disebarkan oleh ‘desas bin desus’. Ada cerita tetang tangkapan ISA, tentang askar akan ambil alih negara dan kisah penangkapan beramai-ramai ala Operasi Lalang. Cerita penglipur lara dari Desas bin Desus ini sebenarnya adalah sebahagian dari pernah saraf yang tersusun untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Rentasi Garis Maginot, bakar kapal perpaduan

Untuk saya bukan 6,000, bukan 60,000 atau bukan 600,000 warga yang turun ke jalan pada 9 Julai untuk dijadikan ukuran. Untuk saya angka ini bukan persoalan. Kalau pun hanya enam orang yang turun pada 9 Julai yang lalu, saya anggap ini adalah satu kemenangan. Kenapa saya berkata sedemikian?

Mungkin ramai yang tidak sedar. Mungkin ramai yang belum faham lagi. Apa yang terjadi pada 9 Julai dahulu ialah kita warganegara Malaysia telah melintasi ‘Garis Takut’. Garis Takut ini adalah sebahagian dari garis psokologi yang telah dipasang apabila malapetaka 31 Ogos dihempapkan kepada kita semua.

Garis Takut adalah Garis Maginot, garis pertahanan untuk United Malay National Organisation untuk menyebarkan falsafah ketuanan Melayunya. Pada 9 Julai yang lalu Garis Takut ini telah sama-sama kita lintasi. Dari kajian awal BERSIH, hampir 120,000 warga telah turun dan terlibat di jalan raya pada 9 Julai yang lalu. Kesemua mereka telah melintasi Garis Takut.

Garis Takut ini juga telah memecahkan mitos Mei 13 dan pergaduhan kaum. Babak Mei 13 ini telah menghantui kita selama berpuluh tahun. Pada 9 Julai yang lalu hantu dan mitos 13 Mei hancur berderai-derai. Anak anak muda yang turun ke jalan raya pada 9 Julai yang lalu telah menangkap hantu 13 Mei ini dan memasukkan ke dalam botol untuk dibuang ke Laut Kalzom.

Pada 9 Julai yang lalu terbukti anak-anak muda – anak semua bangsa – tidak ambil pot langsung terhadap Pekasa, polis, tentera atau ISA. Inilah bukti sahih yang mereka telah melintasi Garis Takut. Anak-anak muda di jalan raya telah masuk ke satu dunia yang baru.

Melintasi Garis Takut ini bermakna kita semua – para penyokong Bersih – telah juga menyeberang menyeberang Sungai Rubicon. Seperti Julius Ceaser kita juga tidak ada pilihan melainkan mara mendobrak kezaliman dan ketidakadilan.

Pasti ada yang akan menyoal, kapal mana yang telah kita bakar pada 9 Julai yang lalu?

Senyum dan senyumlah. Kapal yang telah kita bakar pada 9 Julai ialah ‘Kapal Kerajaan Perpaduan’. Seperti Tariq ibni Ziyad, pada 9 Julai dahulu segala mimpi, segala angan-angan untuk mengundur pulang ke Tangier telah musnah. Segala mimpi, segala angan-angan untuk PAS dan United Malay National Organisation menubuhkan kerajaan perpaduan telah terbakar di Lebuh Pudu, di Jalan Petaling dan di Menara Maybank.

Tembakan gas pemedih mata di terowong stesen bas KL Sentral adalah mancis api yang membakar kerajaan perpaduan. Apabila Hadi Awang ditangkap dan Mat Sabu dilanggar kereta polis ini adalah keruntuhan tiang layar kapal kerajaan Perpaduan.

Kita telah menyeberang Sungai Rubicon, kita telah melintasi Garis Maginot dan kita telah membakar kapal perpaduan. Kini kita sedang berada dalam dunia yang baru. Kita berada dalam wilayah yang memungkinkan kita menamatkan malapetaka yang menghempap kita semenjak 31 Ogos 1957 dahulu. Di belakang kita ialah takut, di hadapan kita ialah Putrajaya yang subur dan menjanjikan untuk diambil.

Yakin Pada Diri

Keindahan Dunia

Tiada keindahan dalam sebuah kehidupan tanpa merasai kepahitan dan tiada bunga-bunga kebahagiaan dalam sebuah kepahitan tanpa menyemai benih-benih kesabaran serta tiada keberkatan pada sebuah kenikmatan jika tiada keikhlasan dan kesyukuran yang bertapak di jiwa insan

Kadar Zakat Tahun 2011 (1432h)

KADAR ZAKAT 2011 (MENGIKUT NEGERI)
Sabah – RM 7.00
Sarawak – RM 6.20
Melaka – RM 6.50
Kelantan – RM 7.00
Johor – RM 5.00 / RM 7.50 – mengikut jenis beras yang dimakan
Terengganu – RM 5.00 / RM 7.00 / RM 8.00 – mengikut jenis beras yang dimakan
Kedah – RM 7.00
Perak – RM 7.00
Pahang – RM 7.00
Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) – RM 7.00
Perlis – RM 6.00
Negeri Sembilan – RM 6.50
Selangor – RM7.00
Pulau Pinang – RM7.00

Politik: Strategi dan Falsafah

Strategi dan Falsafah

Penulisan politik boleh dibahagikan kepada 2 kategori. Kategori yang pertama ialah berkenaan bagaimana politik, dan yang kedua berkenaan “mengapa politik”.

Contoh ahli ahli penulisan strategi (kategori pertama) ialah Sun Tzu, Niccolo Machiavelli, dan George Washington Plunkitt. Manakala contoh ahli ahli falsafah pula (kategori 2) ialah Plato, Aristotle, Locke, Mills, Thomas Jefferson, Marx dan Mao.

“Politik” mungkin mempunyai maksud pejoratif, terutama sekali apabila digunakan di dalam kerja kerja dalaman sesebuah institusi. Dengan mengatakan sesuatu keputusan dibuat atas dasar politik akan memberi gambaran bahawa keputusan tersebut dipengaruhi oleh kepentingan runcit daripada objektif atau kebaikan bersama.

Politik merupakan satu cara untuk manusia mengkordinasi tindakan seseorang untuk kebaikan bersama (atau kebaikan individu). Apa yang membezakan politik dengan etika dan sosial ialah didalam politik terdapat banyak persoalan berdebat ( debated questions ). Kebanyakan ahli teori berpendapat untuk menjadi politik, sesuatu proses itu perlu menggunakan sedikit kekerasan kerana politik mempunyai hubungan rapat dengan konflik.

Memenangi suatu konflik politik bermaksud merampas kuasa dari satu kumpulan atau entiti dan memberikannya kepada kumpulan lain. Ramai akan bersetuju konflik politik boleh dengan mudahnya tumbang menjadi “zero-sum game”, dimana tiada yang dipelajari atau diselesaikan, melain menentukan “siapa menang, siapa tewas”:

Lenin berkata politik ialah siapa yang boleh lakukan apa kepada siapa ( Who could do what to whom ). Manakala, seorang ahli sains politik, Harold Lasswell pula berkata politik adalah siapa yang dapat apa, bila dan bagaimana ( who gets what, when and how ).

Ia juga mengenai bagaimana kita menyelesaikan pertikaian moral yang cukup serius sehinggakan ia membentuk ancaman gangguan masyarakat – dalam mana usaha sepenuh hati kepada proses perundingan atau diplomasi biasa cenderung mengurangkan keganasan – biasanya dilihat sebagai matlamat utama peradapan. Bernard Crick merupakan ahli theori utama pada pandangan ini dan juba idea bahawa politik itu sendiri hanyalah “ethik dilakukan dihadapan umum”, di mana institusi awam boleh bersetuju, tidak bersetuju, atau campur tangan bagi mencapai hasil akhir yang diingini atau proses menyeluruh yang lengkap.

Sesuatu Yang Lebih

Jika Anda menginginkan sesuatu yang belum pernah anda miliki, Anda harus bersedia melakukan sesuatu yang belum pernah Anda lakukan. If you want something you’ve never had, you must be willing to do something you’ve never done. ~ Thomas Jefferson

Doa Malaikat Jibrail Menjelang Ramadhan

“Ya Allah?abaikanlah puasa umat Nabi Muhammad S.A.W jika apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan 3 perkara:

1. Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua org tuanya.

2. Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri.

3. Tidak bermaafan terlebih dulu dengan orang-orang sekitarnya”.

Maka Rasullullah S.A.W pun ucapkan amin tiga kali. Oleh itu ingat lah wahai semua ummat Muhammad S.A.W akan pesanan di atas. Semoga Allah S.W.T memberkati dan sentiasa menjaga ibadah puasa kita.