Bajet pantau kewangan peribadi- Utusan Malaysia 20 Sept 2012

SETIAP tahun pada September atau Oktober bajet tahunan negara akan dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan. Tatkala itu, ramai yang tertunggu-tunggu apakah intipati bajet tahunan negara. Tidak terkecuali bagi Bajet 2013 yang akan dibentangkan pada 28 September ini.

Semua golongan menaruh harapan yang tinggi agar mereka juga memperoleh manfaat daripada pengumuman Bajet 2013 nanti. Tatkala Bajet 2013 bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kita sebagai rakyat dan pengguna juga seharusnya mempunyai bajet kewangan tahunan peribadi.

Bajet secara amnya merupakan satu mekanisme untuk mengawal dan memantau kewangan. Bajet digunakan bagi memastikan kewangan seseorang sentiasa pada tahap mapan.

Mapan di sini bermaksud perbelanjaan tidak melebihi pendapatan. Apabila perbelanjaan melebihi pendapatan seseorang, maka individu tersebut akan mengalami kekurangan wang.

Dalam bahasa ekonomi ia dikenali sebagai defisit. Baik individu mahupun negara, seboleh-bolehnya elakkan defisit kewangan. Defisit yang tinggi akan menyebabkan hutang meningkat. Dengan kata mudah, kedua-duanya mempunyai hubungan positif di antara satu sama lain.

Sebab itulah, perkara paling penting dalam melaksanakan bajet yang telah disediakan adalah dengan memastikan kewangan individu tidak mengalami defisit.

Bajet sebaik-baiknya digunakan untuk memantau aliran tunai individu. Aliran tunai yang positif menandakan seseorang itu telah mengurus kewangan peribadi secara berhemah, manakala yang mengalami aliran tunai yang negatif telah terperangkap dengan perbelanjaan yang keterlaluan mengatasi pendapatannya.

Bagi yang mengalami aliran tunai yang negatif, tindakan pembetulan mestilah segera dibuat. Umpamanya, mengurangkan perbelanjaan yang tidak sepatutnya dan hanya menumpu pada perbelanjaan keperluan harian dan bukannya perbelanjaan barangan kehendak.

Sering kali kita lihat ramai yang tersungkur sebaik sahaja berakhirnya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri. Mereka ini terpaksa mengekang perbelanjaan harian hanya kerana terlibat dengan perbelanjaan besar semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Kalau dikira dalam konteks pengurusan kewangan, mereka ini boleh dikatakan tidak mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah.

Seseorang yang mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemah tidak akan mengalami masalah kewangan pada setiap masa termasuklah ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sebab itulah, bajet cukup penting dalam mengawal kewangan seseorang. Apa yang penting ia dilaksanakan sebagaimana yang dibelanjawankan.

Sebab itulah seboleh-bolehnya jangan sesekali berbelanja di luar daripada apa yang dibelanjawankan. Malahan, kerajaan juga bertekad untuk memastikan apa yang dibelanjawankan dilaksanakan sebaik mungkin.

Pembaziran antara perkara yang wajib dielakkan.

Kerajaan juga pada dasarnya berusaha untuk mengurangkan kadar defisit pada tahap terendah iaitu pada kadar tiga peratus menjelang 2015. Kerajaan turut sentiasa menyasarkan agar peratusan hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak melebihi 55 peratus.

Lebih tinggi peratusan kadar hutang berbanding KDNK, lebih tinggi kemungkinan sesebuah negara mengalami tekanan kewangan. Dengan kata lain, kadar hutang yang tinggi akan memudaratkan kewangan negara.

Begitu juga bagi individu, defisit yang tinggi akan menyebabkan individu tersebut terpaksa berhutang dengan pelbagai pihak. Jika berhutang dengan sanak saudara mahupun bank tidak mengapalah, yang menjadi masalahnya berhutang dengan ah long yang mana kadar faedah yang dikenakan amatlah tinggi.

Ramai yang terperangkap dengan gejala berhutang dengan ah long. Apabila sudah terperangkap, ingin keluar daripadanya bukannya mudah. Maka, akhirnya seseorang itu bukan sahaja akan dikejar oleh ah long tetapi juga berkemungkinan besar kehilangan orang tersayang dan rakan-rakan baik yang cuba melarikan diri daripadanya.

Terimalah padahnya ekoran tidak mengawal segala perbelanjaan. Berbelanja sewenang-wenangnya mengikut nafsu akan menyusahkan ramai pihak.

Penangan berhutang akibat tidak mahir mengurus kewangan peribadi akhirnya bukan sahaja menyusahkan diri sendiri tetapi orang lain.

Sebab itulah konsep asas dalam pengurusan kewangan peribadi adalah berbelanja mengikut kemampuan. Memang mudah untuk diucap tetapi tidak mudah untuk mengamalkannya. Sebagai contoh, ketika kos sara hidup yang semakin meningkat dan harga rumah semakin tinggi ramai yang terpaksa berhutang keliling pinggang.

Bercakap tentang rumah, kita juga sedia maklum, hutang rumah merupakan perbelanjaan terbesar seseorang.

Justeru, seseorang wajib merancang sebelum membeli rumah dengan mengambil kira faktor kemampuan membayar balik pinjaman rumah selain memastikan faktor-faktor lain seperti lokasi rumah tersebut.

Seboleh-bolehnya pembelian rumah buat pertama kali adalah untuk menetap di situ dan bukannya bertujuan untuk membuat pelaburan. Ketika harga rumah yang semakin meningkat tinggi, faktor kos tidak boleh dikesampingkan. Belilah rumah yang selesa tetapi masih dalam lingkungan kemampuan kewangan.

Selain itu, pembelian kereta juga perlu diambil kira. Ramai orang terutamanya generasi muda kerap menukar kereta. Gaya hidup yang sering kali menukar kereta boleh menyebabkan kewangan peribadi seseorang berada dalam keadaan tenat. Sedangkan kereta hanya digunakan untuk sampai ke destinasi yang ingin dituju.

Jangan hanya mengambil kira bayaran ansuran bulanan kereta sahaja kerana kos memiliki kereta termasuklah kos petrol, belanja penyelenggaraan, cukai jalan, insurans malahan kos parkir juga perlu diambil kira.

Kesemua ini perlu dimasukkan dalam bajet individu bagi mengelak individu tersebut terjerumus ke dalam lembah kemuflisan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120920/re_02/Bajet-pantau-kewangan-peribadi#ixzz2BtdbXRza © Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements

Posted on November 13, 2012, in Kewangan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: