Kepentingan Bayar Zakat- Harian Metro 5 Dis 2011

TABIAT suka membuat bayaran pada saat-saat akhir masih berlaku dalam masyarakat negara ini. Senario ini menjadi satu kebiasaan tidak kira untuk apa juga perkhidmatan yang memerlukan pembayaran seperti cukai pendapatan, cukai pintu, insurans kenderaan dan zakat.

Adakah anda antara yang belum membuat bayaran zakat tahun ini? Jika belum, anda mempunyai kira-kira 10 hari lagi.

Pengurus Kanan Operasi PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman (gambar) berkata, pusat itu sedang membuat persiapan bagi menghadapi limpahan pembayar pada hujung tahun.

Antara persiapan PPZ ialah membuka kaunter zakat di semua kaunter pembayaran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) pada setiap hari termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum dari jam 8.15 pagi hingga 4.45 petang.

Waktu urusan kaunter pada hari terakhir iaitu 30 dan 31 Disember akan dilanjutkan sehingga jam 8 malam.

“Memang dari dulu sampai sekarang kami kekalkan begini bagi memberi kemudahan orang ramai datang membuat bayaran,” katanya.

PPZ turut menyediakan pegawai taksir bagi membantu menaksir zakat pembayar khususnya pada minggu terakhir Disember.

Dalam pada itu, kaunter sementara dibuka di pejabat kerajaan dan swasta, di samping cendera hati istimewa seperti kalendar meja dan dinding menanti pembayar pada bulan ini.

Kesedaran masyarakat berhubung pembayaran zakat memang bertambah berikutan peningkatan jumlah pembayar. Ini dibuktikan apabila tahun lalu PPZ Wilayah Persekutuan mengutip RM275 juta zakat harta iaitu lebih 25 peratus daripada RM1.27 bilion kutipan zakat harta seluruh negara, katanya.

“Malah, kajian kami mendapati pada 2011, potensi pembayar zakat di Wilayah Persekutuan ialah 124,957, termasuk individu (120,328) dan syarikat. Kalau dilihat daripada pencapaian tahun lalu, pembayar zakat di Wilayah Persekutuan bagi individu dan syarikat ialah 89,101 pembayar.

Dalam aspek pengurusan zakat, PPZ-MAIWP adalah antara negeri tertinggi kutipan zakat dan pengagihan wang zakatnya. Bagi zakat simpanan, peningkatannya kira-kira 16 peratus iaitu RM14.98 juta berbanding RM13.4 juta tahun lalu.

“Kami percaya masih ramai belum mempunyai kesedaran dari segi jenis simpanan yang perlu dikenakan zakat. Sebab itu ada yang menyatakan bahawa simpanan ini hanya yang berada di bank.” “Sebenarnya zakat simpanan yang dimaksudkan itu ada empat jenis iaitu wang simpanan, emas, KWSP dan saham. Pada tahun ini kami merasakan potensi zakat simpanan boleh ditingkatkan daripada 16 peratus kepada sasaran lebih 20 peratus.

Nisab zakat wang simpanan bersamaan dengan berat 85 gram nilai emas semasa atau 595 gram nilai perak. Di Wilayah Persekutuan, nisab bagi 2011 adalah RM10,300. Wang simpanan sama ada disimpan di bank, rumah atau di mana sahaja adalah wajib dizakatkan jika cukup nisab atau haul. Contohnya, simpanan di ASB, Maybank dan BSN.

Zakat bagi wang simpanan tetap dikenakan ke atas simpanan pokok yang disimpan dalam tempoh setahun iaitu Januari hingga 31 Disember dan pilih baki terendah, jelas Abdul Hakim.

Jika baki melebihi kadar nisab RM10,300, baru dikenakan zakat. Contohnya, baki terendah RM20,000 darabkan dengan kadar zakat 2.5 peratus, bersamaan RM500. Simpanan dalam satu akaun pula dikira berdasarkan kepada jumlah baki terendah dan berakhir haul. Ini kerana baki terendah itu mencapai tempoh masa setahun dalam pemilikan kita, kata Abdul Hakim.

Bagi simpanan dalam beberapa akaun di bank, penyimpan hendaklah jumlahkan setiap baki terendah buku akaun walaupun ada di antara simpanan itu kurang daripada nisab. Campurkan semua jumlah itu dan jika melebihi nisab, wajib zakat.

Jika wang disimpan di institusi yang menunaikan zakat bagi pencarum, penyimpan tidak perlu mengeluarkan zakat. Contohnya simpanan di Tabung Haji dan Bank Islam.

Seterusnya ialah zakat simpanan emas yang mungkin ramai tidak tahu, katanya. Syariat mewajibkan zakat simpanan emas dan perak dalam bentuk wang atau leburan logam, mahupun dalam bentuk lain seperti jongkong, mata wang, perkakas atau perhiasan wanita atau rumah. Ada dua jenis emas iaitu emas yang tidak dipakai dan emas dipakai. Emas yang tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun jika melebihi nisab 85 gram wajib dikenakan zakat iaitu berat emas tidak dipakai darab dengan harga emas semasa dan darab dengan 2.5 peratus.

Bagaimana pula dengan emas yang dipakai? Ada sesetengah berpendapat emas yang dipakai tidak perlu bayar zakat. Benarkah begitu? Sebenarnya tidak, kata Abdul Hakim. Bagi emas yang dipakai walaupun sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun dan melebihi uruf (kadar biasa pemakaian emas penduduk setempat) maka wajib zakat atas lebihan daripada nilai uruf. Kadar uruf di Wilayah Persekutuan ialah 150 gram.

“Timbang semua barang perhiasan emas itu, tolak anggaran berat batu permata jika ada, bagi mendapatkan jumlah berat emas perhiasan,” katanya.

Cara kiraannya, berat emas dipakai darab dengan harga emas semasa (1 gram) darab dengan 2.5 peratus. Abdul Hakim menasihati agar harga emas dirujuk kepada PPZ yang lebih murah daripada kedai yang memasukkan harga sewa dan upah.

Mengenai kewajipan zakat simpanan terutama untuk zakat emas ini disebut dalam al-Quran surah At-Taubah ayat 34-35. Allah berfirman, “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakan ke jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas, perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada (mereka). Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab daripada) apa yang kamu simpan itu.” Beliau masih ingat kisah pembayar tetap zakat emas yang satu hari rumahnya dipecah masuk dan habis barang emas dicuri. Namun kerana berkat membayar zakat simpanan emas, dua hari kemudian pencuri memulangkan semua barang emasnya.

Barang emas yang berada di kedai pajak gadai selagi tidak ditebus bukan hak, maknanya tidak ada kuasa dan dari situ syarat sempurna milik tidak ada, jadi tidak perlu bayar zakat.

Mengenai zakat simpanan terdiri daripada KWSP, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) atau seumpamanya wajib dizakatkan apabila dikeluarkan daripada simpanan. Ini kerana sebaik dikeluarkan ia cukup semua syarat, termasuk sempurna hak milik. Pengiraannya ialah jumlah wang KWSP yang dikeluarkan didarab dengan 2.5 peratus. Bagi saham pula, saham yang dibeli dengan wang sendiri sahaja dikira sedangkan bahagian yang dibeli melalui pinjaman dikira tidak sempurna milik.

Abdul Hakim berkata pembayaran zakat ialah proses ‘pengembalian’ kerana rezeki daripada Allah sebahagiannya adalah milik fakir dan miskin yang akan dapat memelihara keharmonian masyarakat.

“Orang lupa dia ingat harta dimiliki itu harta dia sepenuhnya. Kalau kita ambil juga, Allah kata ‘Aku akan tarik balik’ dengan pelbagai cara seperti sakit, kereta atau rumah rosak, macam-macam anak, isteri kita jadi masalah,” kata Abdul Malik.

Umat Islam perlu sedar dengan berzakat bukan sahaja mendapat pahala, malah harta mereka akan dilindungi, dibersihkan dan rezeki bertambah dan diberkati Allah. RM1.3 bilion kutipan zakat dicatat di seluruh negara tahun lalu dan ia pelengkap usaha kerajaan membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Patutkah ada yang berfikiran wang simpanan terjejas selepas membayar zakat? “Sepanjang 20 tahun saya bekerja di sini tidak ada pembayar zakat mengadu dia muflis selepas itu malah menceritakan Allah beri lagi banyak. Ini menandakan perniagaan mereka semakin maju dan inilah ganjaran apabila membayar zakat. Perlu diingat, Allah boleh tarik balik rezeki kalau kita tidak bayar zakat,” jelas beliau.

Dalam hubungan ini Abdul Hakim memberi contoh pengalamannya ketika bertugas di bahagian kaunter, bila seorang pembayar zakat perniagaan yang mula-mula datang membayar RM10,000. Selepas itu pada tahun kedua ahli perniagaan itu membuat bayaran RM40,000 dan tahun ketiga RM700,000.

“Insya-Allah orang yang bayar zakat Allah jaga hartanya. Ada yang tidak beriman merasakan duit dia akan hilang bila bayar zakat. Dia tidak nampak keberkatan yang Allah bagi ini kadang-kadang bukan dalam bentuk duit,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran berzakat di kalangan umat Islam di Malaysia, PPZ melaksanakan beberapa pendekatan. Antaranya ialah memperhebat kempen berbentuk ceramah dan forum dengan menjemput penceramah terkenal seperti Ustazah Datuk Siti Noor Bahyah Mahmood, Ustaz Wan Akashah dan Datuk Dr Fadhilah Kamsah. – Bernama

Harian Metro

Advertisements

Posted on February 6, 2012, in Kewangan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: