Bijak Rancang Perbelanjaan- Utusan Malaysia 3 Jan 2011

Ibu bapa perlu bijak merancang perbelanjaan ketika membeli keperluan sekolah anak-anak mereka pada hujung tahun – Gambar hiasan.

SETIAP kali menjelang awal tahun, pasti ramai ibu bapa yang ‘pening kepala’ memikirkan faktor perbelanjaan yang perlu diperuntukkan. Maklum sahaja pada waktu ini perbelanjaan dijangka meningkat untuk pelbagai keperluan termasuk bagi persekolahan anak-anak.

Bagi keluarga yang bergaji besar pastinya tidak membawa masalah tetapi bagaimana pula bagi yang berpendapatan yang sekadar ‘cukup-cukup makan’ dan ditambah pula anak yang ramai.

Bagaimanapun, menurut Perunding Kewangan HIJRAH Wealth Management Sdn. Bhd., Rohani Datuk Shahir, bilangan anak dalam keluarga yang besar atau kecil adalah tidak penting tetapi yang menjadi keutamaan adalah bagaimana cara individu itu menguruskan kewangan.

“Jika mempunyai anak yang sedikit dan pendapatan keluarga yang besar tetapi pengurusan tidak betul ia pasti membawa kepada masalah juga, sebab itu pengurusan sesebuah keluarga itu sangat penting.

“Begitu juga dengan situasi keluarga yang besar tetapi pendapatan yang rendah, jika diurus dengan teratur pasti lebih sempurna,” jelasnya.

Kata Rohani, merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak dan keadaan ini tidak mengira sama ada individu itu berpendapatan besar ataupun kecil.

Malah katanya, merancang kewangan sebenarnya melibatkan masa depan, kerana di masa depan, pelbagai kemungkinan boleh berlaku iaitu yang memerlukan pengaliran wang keluar atau wang masuk.

“Melalui perancangan yang betul, ia boleh membuatkan kita berada di situasi sebenar, malah keadaan ini juga dapat membuatkan kita tidak bertindak secara melulu semasa membuat keputusan mengenai kewangan.

“Bagaimanapun ramai di kalangan masyarakat kita yang tersilap langkah dengan membuat perbelanjaan melebihi kemampuan diri.

“Keadaan itu sebenarnya menjerat diri sendiri dan boleh memberikan tekanan kepada diri,” ujarnya.

Katanya, dalam membuat perancangan keluarga setiap daripada individuperlu berdisiplin dan perlu memikirkan tentang kebajikan keluarga. Malah jelasnya, matlamat juga merupakan perkara yang penting dalam merancang kewangan keluarga.

“Sekiranya kita mengetahui anak akan memasuki sekolah pada tahun depan, jadi dari awal tahun lagi kita perlu membuat perancangan supaya keadaan tidak menjadi kelam-kabut,” katanya.

Malah dalam situasi ini ujarnya, sikap menabung adalah perlu bagi mengelakkan situasi yang tidak diingini berlaku pada saat akhir. Di sini perlunya pengurusan yang teratur dilakukan terhadap pendapatan yang diperoleh.

“Gunakan sebahagian daripada gaji kita untuk disimpan bagi kegunaan tersebut, contohnya untuk keperluan sekolah anak, jumlah keseluruhan yang diperlukan adalah RM2,000.

“Jadi jumlah tersebut dibahagikan dengan 12 bulan, keadaan ini bukan sahaja dapat menanam sikap menabung tetapi juga boleh menjadikan kita lebih berdisiplin dalam pengurusan wang,” ujar Rohani yang juga penulis buku Ke mana Wang Anda itu lagi.

Bagaimanapun katanya, syarat utama dalam mengurus kewangan ialah mesti menetapkan matlamat, perkara itu penting di mana matlamat menentukan arah tuju kepada apa yang ingin kita capai.

“Matlamat pula terbahagi kepada tiga bahagian – jangka pendek iaitu selama dua tahun, jangka sederhana untuk tempoh dua hingga lima tahun dan jangka panjang untuk lima tahun ke atas,” ujarnya.

Katanya, setelah menentukan matlamat kita boleh mulakan dengan yang paling bawah iaitu matlamat jangka pendek dan diikuti pula dengan matlamat seterusnya.

“Dalam situasi ini, gunakan imaginasi sendiri dan lakarkan jadual sendiri untuk menentukan matlamat kita supaya boleh tercapai.

“Buatlah peringatan sebagai catatan untuk bulan-bulan kritikal yang memerlukan kos yang tinggi contohnya untuk percutian akhir tahun, belanja perayaan, cukai jalan dan sebagai,” katanya.

Terangnya, melalui kaedah itu, ia sekali gus memberikan peringatan kepada individu untuk lebih berhati-hati dalam perbelanjaan .

Selepas matlamat kewangan ditentukan katanya, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik dan terancang agar matlamat yang dibina mudah tercapai. Perlu diingatkan matlamat yang dibuat dalam masa jangka terdekat bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi bagi mengenal pasti tabiat berbelanja.

Dalam masa sama, beliau juga mengingatkan kepada setiap suami isteri yang bekerja bahawa apa saja urusan kewangan dibuat akan memberi kesan kepada keluarga mereka.

“Apa yang penting bagaimana kita uruskan wang kita dan bagaimana kita menahan nafsu daripada berbelanja yang tidak mengikut keperluan sebenar keluarga kita,” ujar beliau lagi.

Kata Rohani, adalah lebih baik jika dapat mengajak anak-anak sekali ketika membuat perancangan dan belanjawan keluarga.

“Contoh termudah, sebelum pergi membeli-belah di pasar raya, senaraikan barangan yang ingin dibeli. Dengan ini mereka sudah tahu yang ibu bapa memperuntukan wang untuk perbelanjaan barangan yang telah disenaraikan sahaja dan mereka tidak bolehlah meminta sesuka hati,” katanya.

Malah, terangkan situasi ekonomi semasa juga merupakan kaedah terbaik kepada anak-anak , keadaan ini penting supaya mereka lebih berjimat dan tidak terlalu terikut-ikut dengan budaya pentingkan barangan berjenama semata-mata.

Oleh zuhayati yazid

Utusan Malaysia 3 Jan 2011

Advertisements

Posted on February 1, 2012, in Kewangan. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: